Saturday, October 9, 2010

Tuntutan Solat Berjemaah

Digalakkan mengerjakan solat berjemaah kerana di dalam jemaah akan terjalin hubungan antara solat seseorang dengan imamnya. Perintah berjemaah dijumpai di dalam Al-Quran, AI-Hadis dan ijmak ulama.

Firman ALlah s.w.t; maksudnya:-

Dan apabila engkau berada di tengahtengahmereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu.(An-Nisaa 102)

Ayat itu menerangkan cara mengerjakan solat berjemaah di dalam keadaan perang. Jikalau di dalam keadaan perang atau darurat pun masih dijuga disuruh berjemaah, bererti dalam keadaan aman lebih
digalakkan lagi. Daripada Abu Hurairah r.a bahawaNabi s.a.w. bersabda;

Solat seseorang yang dikerjakannya secara berjemaah, dua puluh lima kali lebih baik daripada solat yang dikerjakannya di rumahnya atau pasarnya.

Dan hadis dari Umar (hadis marfu'); Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.Ijmak ulama sejak zaman dahulu sampai sekarang bahawa berjemaah memang digalakkan.

Solat berjemaah termasuk di antara yang dikhususkan untuk umat Islam. Ia disyariatkan kerana padanya terkandung tanda kepatuhan, sabar, keberanian, susunan yang rapi atau kemas serta untuk menyatukan hati seluruh jemaah. Rasulullah s.a.w. sentiasa mengerjakan solat secara berjemaah, begitu juga para sahabat serta ulama-ulama sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memberi peringatan supaya jangan meninggalkannya tanpa uzur. Di antara hadis yang memberi peringatan ialah;

Sesiapa yang mendengar panggilan azan tidak ada sesuatu uzur baginya untuk menyertai solat berjemaah itu maka tidakk diterima solat yang ia kerjakan sendirian itu.

Ketika ditanya apa yang uzur dimaksudnya itu, Rasulullah s.a.w. menjawab; Penyakit atau keadaan yang menakutkan.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya ada seorang lelaki buta mendatangi Rasulullah s.a.w. dan berkata; Bahawa tidak ada orang yang menuntunnya ke masjid sambil menanya apakah dia dikecualikan daripada mengikuti solat berjemaah di masjid. Ternyata Rasulullah s.a.w. memberi keringanan keatasnya. Tetapi tatkala lelaki itu sudah berpaling, Rasulullah s.a.w. memanggilnya lagi sambil bertanya; Apakah ke rumahmu kedengaran azan? Lelaki itu menjawab 'ya'. Rasulullah berkata lagi; Kalau begitu penuhi panggilan itu.

No comments:

Post a Comment