Saturday, March 19, 2011

Pertengkaran Berhemah

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Sunday, February 20, 2011

Sejarah & Hukum Sambutan Maulidur Rasul

MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.
Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.
Sejarah ringkas
Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.
Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.
Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.
Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan.
Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.
Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.
Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen ‘Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.
Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.
Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.
Hujah membolehkan Maulidur Rasul
Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.
Imam Jalaluddin Sayuti:
“Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia”.
Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
“Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.
“Sa’d bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.
“Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.
“Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.
“Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.
“Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam”.
Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A’raf: 157)
Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.
2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)
Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar”.
3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan”.
Maka Nabi berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu”. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.
- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

Wednesday, January 26, 2011

Solat Dalam Keadaan Mengantuk

Diriwayatkan dari Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia
mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”            (al-Bukhari)

Huraian:
Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas
 itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur.
Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada 
dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun
 bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.
Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wuduk semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu 
akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerja
kan solat

Monday, November 29, 2010

Takbir Aidil-Adha 1431H

Seperti biasa pada setiap tahun, menjelangnya Aidil-Adha akan diadakan majlis takbir dari rumah ke rumah penduduk di Taman Murai Jaya dan berhampiran.


Takbir dimulai di surau selepas solat magrib dan kemudiannya bergerak ke rumah-rumah yang berdekatan surau.   Selepas solat Isyak berjemaah di surau, rombongan ini meneruskan takbir ke rumah-rumah penduduk yang lain.




Majlis pada malam itu tergendala sedikit berikutan hujan yang agak lebat. Walaubagaimanapun ianya diteruskan.

Majlis pada tahun ini berakhir kira-kira pukul 11.30 malam dengan bilangan rumag sebanyak 15 buah rumah. 



Rombongan diakhiri dengan jamuan malam raya yang diadakan di surau. Jamuan ini telahpun disediakan oleh kaum ibu semasa para bapa-bapa mengadakan takbir ke rumah.


Selamat Hari Raya Aidil-Adha


Saturday, October 9, 2010

Tuntutan Solat Berjemaah

Digalakkan mengerjakan solat berjemaah kerana di dalam jemaah akan terjalin hubungan antara solat seseorang dengan imamnya. Perintah berjemaah dijumpai di dalam Al-Quran, AI-Hadis dan ijmak ulama.

Firman ALlah s.w.t; maksudnya:-

Dan apabila engkau berada di tengahtengahmereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu.(An-Nisaa 102)

Ayat itu menerangkan cara mengerjakan solat berjemaah di dalam keadaan perang. Jikalau di dalam keadaan perang atau darurat pun masih dijuga disuruh berjemaah, bererti dalam keadaan aman lebih
digalakkan lagi. Daripada Abu Hurairah r.a bahawaNabi s.a.w. bersabda;

Solat seseorang yang dikerjakannya secara berjemaah, dua puluh lima kali lebih baik daripada solat yang dikerjakannya di rumahnya atau pasarnya.

Dan hadis dari Umar (hadis marfu'); Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.Ijmak ulama sejak zaman dahulu sampai sekarang bahawa berjemaah memang digalakkan.

Solat berjemaah termasuk di antara yang dikhususkan untuk umat Islam. Ia disyariatkan kerana padanya terkandung tanda kepatuhan, sabar, keberanian, susunan yang rapi atau kemas serta untuk menyatukan hati seluruh jemaah. Rasulullah s.a.w. sentiasa mengerjakan solat secara berjemaah, begitu juga para sahabat serta ulama-ulama sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memberi peringatan supaya jangan meninggalkannya tanpa uzur. Di antara hadis yang memberi peringatan ialah;

Sesiapa yang mendengar panggilan azan tidak ada sesuatu uzur baginya untuk menyertai solat berjemaah itu maka tidakk diterima solat yang ia kerjakan sendirian itu.

Ketika ditanya apa yang uzur dimaksudnya itu, Rasulullah s.a.w. menjawab; Penyakit atau keadaan yang menakutkan.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya ada seorang lelaki buta mendatangi Rasulullah s.a.w. dan berkata; Bahawa tidak ada orang yang menuntunnya ke masjid sambil menanya apakah dia dikecualikan daripada mengikuti solat berjemaah di masjid. Ternyata Rasulullah s.a.w. memberi keringanan keatasnya. Tetapi tatkala lelaki itu sudah berpaling, Rasulullah s.a.w. memanggilnya lagi sambil bertanya; Apakah ke rumahmu kedengaran azan? Lelaki itu menjawab 'ya'. Rasulullah berkata lagi; Kalau begitu penuhi panggilan itu.

Wednesday, September 8, 2010

Majlis Berbuka Puasa

Dengan kerjasama Taski Solahuddin Al-Ayubi, suatu majlis berbuka puasa telahpun diadakan pada 4hb September 2010 yang lalu. Majlis ini dimulai dengan bacaan doa oleh Tuan Imam surau, Ustaz Sabri bin Marali. Diikuti dengan bacaan surah-surah muqaddam serta nasyid oleh pelajar Taski Solahuddin Al-Ayubi.

Pada majlis itu juga, pihak taski solahuddin al-ayubi telahpun menyampaikan "duit raya" kepada semua pelajarnya dan juga guru-guru.

Pihak surau pula telah menyampaikan sumbangan kepada warga emas di kawasan Taman Murai Jaya.

Akhirnya semua yang hadir dijamukan dengan jamuan berbuka puasa dan seterusnya solat magrib berjemaah di Surau Murai Jaya.




Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin

Saturday, September 4, 2010

Jamuan Berbuka Puasa & Sumbangan Surau-surau

Pada 1 September 2010, Surau Murai Jaya dengan berbesar hati menjadi tuan rumah bagi majlis Jamuan berbuka Puasa dan Sumbangan kepada Surau-surau di kawasan Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.


Lebih dihargai kerana sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Tuan Liam Guan Eng. Sebanyak 8 buah surau yang berada di kawasan Simpang Ampat telahpun diberi sumbangan tersebut.


Turut hadir bersama YAB Tuan Lim Guan Eng adalah YB Tuan Law Choo Kiang (ADUN Bukit Tambun), Pengerusi JKKK Simpang Ampat, Pengerusi JKKK Bukit Tambun dan Pengerusi JKKK Kampung Baru Simpang Ampat.


YAB Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya menyentuh berkenaan fitnah yang telah ditaburkan ke atasnya berkenaan penyembelihan lembu korban. Beliau meminta semua penduduk Simpang Ampat agar lebih teliti apabila menerima perkhabar yang tidak sihat.


Terdahulu dari itu, satu tazkirah telah pun diadakan oleh Ustaz Muhammad Hafiz dari Taman Puteri Gunung. beliau juga menyentuh berkenaan pemimpin yang jujur dan amanah dan juga peradaban kita semasa berada di dalam bulan Ramadhan.



Wednesday, August 4, 2010

Karnival Sukaneka Rakyat 2010

Alhamdulillah, terlaksanalah sudah karnival Sukaneka Rakyat 2010 pada 1 Ogos 2010 yang lepas. Karnival ini bermula seawal pukul 8.00 pagi dan dimulai dengan upacara perasmian pembukaan oleh YB Tuan Law Choo Kiang (ADUN Bukit Tambun) dengan melepaskan banner karnival ke udara.



Berbagai acara telah dipertandingkan pada karnival Sukaneka ini. Di antaranya adalah mencari gula-gula dalam tepung, tiup belon sampai pecah, bola berirama, lari dalam guni, boling padang, basikal lambat, kerusi berirama, lari guna tempurung dan tarik tali.


















Lebih kurang pukul 12.00 tengahari, YB Dato' Dr. Mansor bin Othman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telahpun tiba untuk upacara penutupan Karnival Sukaneka Rakyat ini.
















YB Dato' Dr. Mansor juga sempat melepaskan acara tarik tali akhir di antara MPSP A dan MPSP B. YB Dato' Dr. Mansor juga turut mengambil bahagian di dalam acara khas untuk VIP iaitu tiup belon sampai pecah, di mana pemenangnya adalah Penghulu Mukim Simpang Ampat, SPS iaitu En Hafizi bin Mohammad. Turut hadir semasa majlis penutupan ini ialah Pengerusi JKKK Simpang Ampat dan Bukit Tambun, juga Timbalan Ketua Balai Polis Bukit Tambun.


YB Dato' Dr. Mansor juga berkenan membuat cabutan dan menyampaikan hadiah bagi pemenang cabutan bertuah.

















Akhir sekali YB Dato' Dr. mansor melepaskan belon sebagai tanda penutupan Karnival Sukaneka Rakyat 2010. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada TKM 1 Pulau Pinang kerana sudi untuk hadir dan merasmikan penutupan majlis ini. Ucapan terima kasih juga kepada semua yang telah menyumbangkan tenaga ataupun hadiah-hadiah terutamnya hadiah untuk cabutan bertuah.







Sehingga berjumpa lagi di tahun hadapan.